masih ada yang sayangkan UMNO

Salam Malaysia Baru.

Setelah selesai gelombang 9 Mei membadai Malaysia, kini hampir 30 hari rakyat di negara ini berada di bawah tampuk kepimpinan kerajaan baru, kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pelantikan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sekali lagi juga masih hangat diperkatakan di seluruh dunia. Apa yang berlaku kini melihatkan landskap politik Malaysia berubah secara drastik dan ada kalangan rakyat yang masih terpesona dan terkejut dengan apa yang berlaku. Hakikatnya perubahan ini bukanlah berlaku dalam tempoh semalaman sahaja, ia sudah bergerak sedikit demi sedikit semasa pilihan raya umum ke-12 dan 13. Namun begitu, Barisan Nasional (BN) yang pada ketika itu menjadi pemerintah seolah-olah tidak memandang serius perubahan yang sedang terbina itu, kuasa dan pengaruh pengundi muda yang menggerakan perubahan itu seperti tidak dipandang dengan teliti oleh BN. Pada ketika itu, kira-kira dua penggal pemerintahan, BN seolah-olah sedang dalam mimpi dan masih terperangkap dengan ideologi politik zaman prasejarahnya.

Hari ini, BN dan khususnya UMNO sudah menjadi pembangkang di peringkat persekutuan. Setelah 60 tahun berkuasa segala-galanya roboh jua. Kita masih dalam fasa memahami perubahan yang berlaku. Adakah ia petanda baik atau buruk terhadap kepimpinan BN.

Selepas kotanya roboh, UMNO kini sedang mengutip sisa-sisa runtuhan dan cuba membina semula kota itu, mengukuhkannya semula. Musim pemilihan UMNO akan tiba tidak lama lagi dan kekalahan yang melukakan di pilihan raya umum ke-14 sudah tentu menjadikan pemilihan UMNO pada kali ini sebagai sesuatu yang paling menarik untuk disaksikan.

Di mana-mana sahaja kita berada, kita mendengar bagaimana suara dan desakan yang menuntut perubahan drastik dan total dalam UMNO amat jelas didengari. Ia sesuatu yang perlu difikirkan dengan serius. Benar, UMNO kini memerlukan wajah baru untuk menerajui kepimpinan tertingginya. Pandangan ini bukan sekadar pandangan orang baru, tetapi orang-orang lama, pemimpin veteran juga sudah senada dalam soal keperluan mendesak untuk perubahan berlaku di dalam parti tertua di Malaysia ini.

Saya mewakili suara muda dalam UMNO tersenyum lebar apabila mendengar pandangan progresif seperti ini. Ini mungkin satu hikmah untuk orang-orang muda bergerak dengan lebih selesa dalam UMNO dan menjadi penggerak utama parti. Kami orang-orang muda dalam UMNO amat berharap bahawa penolakan rakyat ini memberikan kesedaran bahawa segala macam budaya korupsi, war lords, sikap angkuh dan terlalu yakin adalah penyakit yang harus disingkirkan serta-merta daripada UMNO. Parti ini kini harus memulihkan keyakinan rakyat terhadapnya dan ia bukanlah tugas yang mudah. UMNO harus kelihatan sebagai parti dari rakyat untuk rakyat dan bukannya dari elit untuk elit.

Kesan kekalahan UMNO ini menjadikan usaha untuk mendapatkan kembali kepercayaan rakyat khasnya orang muda menjadi semakin sukar dan rumit. Ini kerana anak-anak muda hari ini bukan lagi anak-anak muda yang mudah terikut-ikut dengan apa yang didengar. Keupayaan anak-anak muda dalam menganalisis maklumat harus dihormati dan UMNO jelas perlu mengubah kaedahnya. UMNO perlu lebih kreatif dan mempunyai pendekatan segar dalam pengurusan pelbagai peringkat dalam kepimpinan organisasinya.

Kesedaran amat penting dalam meneruskan kelangsungan hidup dan hayat UMNO. Parti ini bukan sekadar mahu terus kekal dan wujud, namun kegemilangan harus dikembalikan segera. Sudah tentu kegemilangan yang bakal datang ini sesuatu yang amat berharga kerana ia datang ketika UMNO sudah menyedari kesilapan dan dalam proses membetulkan keadaan. Kebangkitan UMNO bukan hanya sekadar laungan kosong, namun ia perlu hadir dengan pemahaman jelas terhadap perjuangan sebenar parti. Dasar-dasar perjuangan yang lama harus dinilai semula secara kritikal dan sudah tentu dalam suasanan politik yang berbeza ini, UMNO memerlukan hala tuju dan keperluan dasar yang juga berbeza. Banyak perubahan yang perlu dilaksanakan.

UMNO perlu menolak orang-orang yang terpalit dengan korupsi, yang penuh dengan agenda peribadi, yang terlalu taasub dengan kuasa dan kedudukan, yang terlalu berbangga dengan diri sendiri, yang terlalu yakin dengan pengaruh sendiri. Ini semua hanya membuatkan rakyat muak. Rakyat sudah terlalu letih dan kecewa dengan sikap syok sendiri dalam UMNO. Malah keletihan ini juga sudah lama dirasai oleh pemimpin muda dalam UMNO. Orang muda yang bercita-cita mahu mempertahankan parti terpaksa berhadapan dengan pelbagai kekalutan sikap segelintir pemimpin parti yang tidak bertanggungjawab.

Jika benar UMNO benar-benar mahu memeluk erat perubahan, maka segala tabiat dan kerosakan yang lama harus ditinggalkan, sikap meninggi diri dan sombong harus diabaikan dengan segera. UMNO harus kembali mencari definisi kredibiliti dan integriti dalam memilih barisan kepimpinan baru. Proses pemilihan UMNO kali ini adalah ujian pertama yang harus dilepasi dan ia adalah langkah perubahan terpenting untuk membentuk UMNO baru.



Mudah - mudahan semua akan menjadi lebih baik. 


#anakmudasayangumno. 





Comments

Popular Posts