Peranan Sayap UMNO




Salam Malaysia Baharu.

Tinggalkan episod sedih UMNO setelah setelah gagal pada PRU 14 yang lepas, dan UMNO dengan berat hati terpaksa akur dengan keputusan terkejut ini.
Ini menjadi satu ikhtibar dan pengajaran yang cukup besar buat UMNO seluruh Malaysia. Sehingga ke hari ini, masih ada orang UMNO yang kekok untuk mulakan langkah sebagai pembangkang. Masih ada yang berusaha untuk mencapai kata sepakat dengan mana – mana pihak untuk menjadikan segelintir dari mereka sebagai kerajaan semula. Tidak mustahil itu semua bisa berlaku, namun peratusannya untuk berjaya agak tipis.

Sudah dengan perancangan tanpa kepastian mana hujung tuju rancangan itu adalah sesuatu yang membuang masa. Adalah lebih baik sekiranya UMNO benar – benar fokus kepada masalah yang sudah beranai – anai di dalam kubu UMNO itu sendiri. Beberapa isu penting yang perlu di perbaiki demi menjamin kestabilan politik dalaman UMNO itu sendiri. Tidak perlu banyak, mulakan dengan yang penting sahaja sudah memadai dan konsistensi untuk mengatur langkah dengan lebih strategik itu amatlah penting.

Antara barisan pertama yang semestinya menjadi agenda utama adalah peranan sayap – sayap di dalam UMNO. Umum tahu, UMNO mempunyai sistem sokongan yang cukup baik seperti Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO. Mereka ini seumpama kaki, tangan UMNO, seperti orang kanan UMNO, seperti mata – mata UMNO dan seperti nyawa buat UMNO itu sendiri. UMNO tidak akan mampu berjalan sendiri tanpa sokongan sayap – sayap ini. Tanpa sayap, maka UMNO takkan mampu untuk terbang lebih tinggi.

Begitu juga sebaliknya.  Tersungkurnya UMNO juga adalah kerana kegagalan sayap untuk menerbangkan UMNO dengan lebih tinggi. Ini adalah kesan sebenar pasca kegagalan PRU yang lepas.

Kalau dahulu, sayap ini sering berasakan bahawa mereka hanya sistem sokongan kepada UMNO, tetapi kita lupa tugas hakiki sayap ini adalah sebenarnya menerbangkan UMNO, bukan sebaliknya.

Dengan itu, dalam pemilihan parti yang datang, adalah amat penting buat kesemua sayap UMNO untuk memilih calon ketua untuk mengemudi sayap ini untuk terus memastikan UMNO terus terbang tinggi. Calon haruslah yang di lihat mempunyai kreadibiliti untuk mewakili suara – suara ahli sayap, dan juga kumpulan rakyat yang di wakilinya walaupun mereka bukanlah ahli parti ini. Sayap seharusnya tidak menjadikan target audience mereka terhad kepada ahli mereka sahaja. Menyantuni anak – anak muda dan rakyat secara keseluruhannya, adalah matlamat yang paling penting untuk memastikan UMNO kembali menjadi kerajaan yang memimpin negara.

Trend politik bukan sekadar dalam parti. Kini ianya sudah berbeza. Jika dahulu, apa yang di sampaikan oleh Ketua Bahagian di peringkat bahagian, maka hanya itu lah sahaja yang dapat di dengar oleh ahli mereka di peringkat bahagian. Mereka tidak mampu untuk mendengar sendiri apa yang cuba di sampaikan oleh pihak – pihak lain secara terus menerus. Bulat kata Ketua Bahagian, maka bulat lah jadinya.

Tetapi sekarang ianya sudah berubah. Ahli UMNO di peringkat akar umbi dan rakyat secara umunya sudah dapat menerima berita dah cerita dari mana – mana peringkat secara terus – menerus, dan mereka akan mengadili sendiri tentang apa yang mereka terima. Berita di peringkat nasional tidak hanya terhad untuk ahli majlis tertinggi sahaja Tidak hanya termaktub untuk simpanan sulit ketua – ketua sayap sahaja. Kini, politik lebih terbuka dan terdedah, samada untuk kebaikan atau untuk ancaman dalaman, ianya terpulang kepada pucuk pimpinan UMNO dan sayap – sayap ini.

Dalam keadaan terkini, sayap seharusnya menjadi barisan benteng yang pertama untuk memastikan kesepaduan UMNO itu terus di jaga. Sayap adalah kumpulan pertama yang seharusnya menjadi agen kepada UMNO bagi memastikan niat perjuangan UMNO itu di sampaikan dengan baik kepada rakyat. Sayap- sayap UMNO adalah kekuatan UMNO. Bukan sebaliknya.

Keterampilan ketua sayap juga bukan sekadar di ukur kemampuannya di dalam parti sahaja. Mereka ini seharusnya di lihat mampu untuk memaparkan imej UMNO di mata rakyat secara umumnya. Mereka adalah yang mampu memacu UMNO bukan sekadar dalam rumah sendiri, tetapi berani menampilkan sisi lain UMNO di padang besar secara terbuka.

Dengan itu, UMNO dalam keadaan sekarang dan juga di masa akan datang, harus menjadi lebih berani untuk membuat perubahan dalam memilih ketua di peringkat tertinggi di setiap peringkat.

Kita perlu belajar bagaimana DAP meletakkan ego mereka ketepi  untuk bersetuju bersama dengan Tun M hanya kerana untuk memastikan matlamat mereka tercapai, iaitu membuang imej DAP adalah sebuah parti hanya untuk kaum cina. Mereka berjaya menjadikan DAP itu lebih mulia dari UMNO kerana mereka telah memilih untuk bersama dengan seseorang yang di percayai oleh rakyat Malaysia untuk memimpin negara bersama mereka, walaupun ianya bertentangan dengan perjanjian asal mereka sendiri.

Jadi besarlah harapan bukan sahaja ahli UMNO di peringkat akar umbi, tetapi juga rakyat Malaysia untuk melihat UMNO mampu memecahkan beberapa ‘tradisi’ yang lapuk untuk kepentingan bersama iaitu untuk melihat UMNO kembali seperti di zaman kegemilangan mereka.




Comments

Popular Posts