RASIONAL PENUTUPAN PUSAT KEAMANAN ANTARABANGSA RAJA SALMAN (KSCIP) OLEH KERAJAAN PAKATAN HARAPAN (PH)


Usai sudah kisah Pilihanraya Kecil (PRK) di Sungai Kandis dan sekali lagi Barisan Nasional (BN) akur menerima kekalahan dan kegagalan merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan itu. Sejurus selepas itu, pelbagai bentuk analisa telah di bentangkan bagi tujuan justifikasi mengenai kemenangan Pakatan Harapan (PH) mengekalkan kerusi dan kekalahan berterusan BN di kawasan tersebut. Kali ini saya terpanggil untuk menyentuh isu pihak kerajaan PH begitu mudah memansuh atau membatalkan pelbagai usaha baik yang telah dimula atau dijalankan oleh kerajaan terdahulu. Selepas isu pembatalan projek High Speed Rail (HSR) yang melibatkan hubungan dua hala dengan kerajaan Singapura, kita telah cuba untuk menarik perhatian hubungan dua hala sebuah negara yang telah menjalinkan hubungan diplomatik yang cukup baik dengan Malaysia, iaitu kerajaan Arab Saudi.

Pengumuman Yang Berhormat (YB) Menteri Pertahanan berkenaan penutupan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) melalui jawapan bertulis sesi soal jawab Dewan Rakyat merupakan satu berita yang mengejutkan. KSCIP bertujuan membanteras golongan radikal dan ekstremis itu diilhamkan sendiri oleh Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saudi. Pada dasarnya, Kerajaan BN yang terdahulu berjaya mengekalkan hubungan yang baik dengan kerajaan Arab Saudi yang mempunyai halatuju yang selari bagi memperjuangkan keamanan dunia dan memperbetulkan persepsi terhadap Islam. Kerajaan PH memutuskan bahawa operasi KSCIP perlu ditamatkan dan pejabat sementara KSCIP di Menara HLA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur ditutup serta-merta menerusi jawapan bertulis YB Menteri Pertahanan kepada soalan Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) yang meminta penjelasan berhubung fungsi dan peranan pusat melawan keganasan itu di Dewan Rakyat. YB Menteri juga menyatakan secara ringkas kepada media bahawa keputusan tersebut merupakan keputusan dari kabinet tanpa memberi ulasan tentang perkara tersebut.

KSCIP dirancang untuk ditubuhkan bersama Kementerian Pertahanan kedua-dua negara dan Muslim Word League (MWL), atau lebih dikenali dengan nama Arabnya, Rabitah al-Alam al-Islami bertujuan memerangi ektremis dan aktiviti keganasan global. Ianya juga sekali gus membolehkan negara berada di barisan hadapan bagi membenteras naratif dan fahaman ekstremis. Ini menunjukan peranan Malaysia terhadap keamanan dan keselamatan global diiktiraf di peringkat yang tinggi. KSCIP diilhamkan selepas kunjungan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud ke Malaysia pada Mac 2017 serta penyertaan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak dalam sidang kemuncak di Riyadh yang dihadiri Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Keputusan untuk menghentikan KSCIP ini sudah pasti menjejaskan hubungan baik di antara Malaysia dan Arab Saudi. Pelbagai impak positif kepada Malaysia dapat dilihat selepas perjanjian kedua buah negara ini dimeterai. Pelaburan berjumlah RM 31 Bilion Saudi Aramco adalah antara sebuah projek terpenting di rantau ini iaitu Projek Pengerang, bukan sahaja akan tergugat kestabilannya, malah memberi risiko kepada peluang pekerjaan yang tercipta. Tambahan lagi, keistimewaan haji seperti penambahan kuota kepada 30,000 orang (2018) serta kemudahan lain seperti perkhidmatan perlepasan segera (fast – track) dan khemah berhawa dingin di Arafah yang pastinya dapat memberi keselesaan kepada umat Islam di Malaysia juga mungkin tidak dapat diteruskan lagi. Keputusan yang dibuat secara unilateral tanpa perbincangan dua hala dengan pihak kerajaan Arab Saudi dikhuatiri boleh menjejaskan hubungan akrab Malaysia-Arab Saudi yang sudah lama terjalin.

Sebelum ini kita di kejutkan dengan keputusan pihak YB Menteri Pertahanan dengan penarikan semula barisan tentera Malaysia di Riyadh bagi tujuan membantu dalam konflik pakatan negara Arab pimpinan Arab Saudi terhadap Yaman yang bermula pada tahun 2015 sehingga kini. Jika dilihat dengan teliti, setiap keputusan yang di umumkan secara langsung atau tidak langsung oleh pihak Kerajaan PH hari ini, amatlah merisaukan. Keputusan seperti penarikan tentera Malaysia dari misi di Arab Saudi dan pembatalan serta merta operasi penubuhan KSCIP boleh memberi kesimpulan yang baru mengenai Kerajaan PH hari ini iaitu sebuah kerajaan yang telah dan bakal membuat keputusan yang boleh menjejasan masa depan dan kelangsungan pembangunan Negara.

Saya berpendapat bahawa pembatalan projek HSR adalah berdasarkan keputusan Yang Amat Berhormat (YAB) Tun Dr Mahathir boleh menggugat hubungan dua hala dengan Singapura serta merencatkan dasar luar kita. Adakah perkara yang sama juga akan berlaku kepada hubungan baik Malaysia dengan kerajaan Arab Saudi? Adakah Kerajaan PH yang diterajui oleh Perdana Menteri, YAB Tun Dr Mahathir ini akan memberi risiko yang sama kepada hubungan dengan Arab Saudi? Adakah kerajaan PH bersedia untuk membiarkan Malaysia melunturkan hubungan yang baik dengan sebuah negara yang mendokong Islam serta mahu menjejaskan kerjasama dan usahasama demi keamanan global? Adakah Kerajaan kini mahu mengeruhkan hubungan dengan kerajaan Arab Saudi kerana pentadbiran pertahanan di Malaysia kini dipercayai telah dipengaruhi oleh anasir atau pegangan lain? Wallahua’lam.

Sekiranya kenyataan ini di anggap sebagai sebuah pertuduhan yang melampau, maka kami menuntut Kerajaan PH dan dalam kes ini, pihak Kementerian Pertahanan yang di terajui oleh YB Mohamad Sabu memberikan penjelasan yang lebih teliti dan khusus mengenai rasional dan timbangtara keputusan kementerian untuk menghentikan KSCIP ini dengan kadar segera sepertimana kementerian mengeluarkan arahan serta merta bagi tujuan tersebut. Sedar tidak sedar kita akan menghadapi dua lagi PRK yakni di DUN Seri Setia dan DUN Balakong. Adakah rakyat akan menilai dengan lebih baik keputusan-keputusan yang diumumkan oleh Kerajaan PH dan memberi signal kepada Kerajaan melalui peti undi ini? Nilailah dengan bijak dan pastikan anda membuat keputusan yang terbaik demi masa depan Malaysia Baharu yang terjamin.



Comments

Popular Posts